Wednesday, April 25, 2012

Hilang Tak Berganti :')

Bulan Mei semakin menghampiri dan aku pasti terasa sayu. Lebih-lebih lagi apabila harijadi tinggal beberapa hari sahaja lagi. Paling perit bila aku terpaksa mendengar soalan seperti, "Dapat hadiah apa dari mak kau?" "Mak kau masak apa sempena harijadi kau?" "Mak kau tak bagi apa-apa ke? Ayah kau?"

Bukan tidak suka soalan berkaitan ibu. Cuma hati terasa pedih tatkala mendengar cerita tentang ibu. Aku bukan membenci ibuku, malah tidak juga di buang ibuku. Cuma aku kehilangan ibuku kerana Allah lebih mengasihi dia.

Benar, keperitan yang aku lalui mungkin sama seperti kamu yang sudah tidak punyai ibu seawal usia kanak-kanak lagi. Di kala kau hanya tahu bermain patung, di kala kau masih mahu tidur di bawah lengan ibumu, di kala kau masih mahu makanan dari tangan ibumu, di kala kau masih mahu mendengar suara ibumu yang merdu mendodoikanmu dan di kala kau mahu dia mendakapmu disaat ketakutan.

Lihat, pada awalnya aku rasa dunia ini cukup tidak adil. 'Menelan' ibuku masuk ke tanah lalu dibiarkan memakai hanya 'baju' putih membaluti ibuku. Aku marah! Cukup marah! Aku masih perlukan belai seorang ibu, aku masih perlukan kasih seorang ibu dan aku juga masih perlukan nasihat seorang ibu.

Kini, setelah hampir 16tahun pemergian ibu, aku masih rindukan dia. Masih terasa hangat dalam dakapannya. Masih terasa nyaman masakannya. Masih terasa empuk lengannya. Masih berbau wangi baju cuciannya dan masih terdengar suara merdunya menegur nakalku. Segalanya masih segar di ingatanku. Terus aku akan sematkan di kalbu. Di kalbuku, wahai ibuku.

Aku yakin, wajahku seiras ibuku :')

"Ibu, aku mahu kau tahu, aku di sini baik-baik sahaja. Datanglah menjemputku kelak bila tiba masaku pula. Aku akan sentiasa menunggu saat untuk kembali ke dakapanmu. Aku di sini akan sentiasa mengirimkan doa."

p/s: Nukilan ini khas buat Puan Norhayati Ramlee yang seikhlasnya aku kirimkan di sini agar dapat berkongsi rasa. Salam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...